[Video] Pakai baju cantik, permintaan terakhir mangsa Feri Triso kepada ibunya


Oleh Chris Bishop

SRI AMAN, 2 Jan: Ibu dan nenek kepada mangsa tragedi Feri Triso semalam, Munah Agon, 58, tidak menerima kenyataan bahawa anak dan cucu-cucu kesayangannya telah pergi selamanya.

Lebih memeritkan lagi katanya, kejadian tersebut berlaku di depan matanya dan hanya mampu melihat sahaja.


“Kita di dalam perjalanan ke Kuching dengan menggunakan dua buah kenderaan. Saya menaiki kenderaan yang dipandu oleh anak lelaki saya dan telahpun memasuki feri.

“Sejurus keluar daripada kenderaan untuk ke bilik air di atas feri, saya mendengar bunyi kuat dan melihat kenderaan yang dipandu oleh anak perempuan saya yang masih berada di belakang menjunam ke sungai.

“Di dalam kenderaan (pikap) tersebut ialah dua anak perempuan dan tujuh orang cucu saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sri Aman hari ini.

Tambah Munah, kejadian tersebut mungkin meragut dua orang lagi cucu beliau jika kedua-duanya tidak dipindahkan ke kenderaan yang dinaiki beliau semasa menunggu di feri.

Menceritakan persiapan ke Kuching, Munah berkata salah seorang anak perempuan beliau telah memintanya untuk memakai baju cantik.

“Kami sanggup bangun seawal jam 4.30 pagi untuk persiapan ke Kuching dan pada masa itulah anak saya membuat permintaan agar memakai pakaian cantik.

“Maka saya pakai baju yang cantik, tapi saya tidak pun tahu itu adalah permintaan terakhir beliau,” katanya.

Munah ibu kepada dua mangsa, Siti Aishah Abdullah, 36, dan Lorna Ting, 33, antara sembilan nyawa terkorban termasuk bayi berusia empat bulan dalam tragedi tersebut.

Selain Siti Aishah dan Lorna, turut menjadi mangsa ialah Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Mohd Ahmad Mohd Hamdan, 4, Muhd Mustaqin Mohd Hamdan, 5, Khairunnisa Muhamad, 14, Nor Shuhada  Muhamad, 16, Wallace Phang, 7, dan Alvin Phang, 12.

Dalam pada itu, enam mangsa yang beragama Islam akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Simanggang.

Menurut pihak pengurusan jenazah, bapa mangsa, Hamdan Razali meminta jenazah anak-anaknya itu untuk dikebumikan di tanah perkuburan tersebut hari ini.

Manakala tiga mangsa yang beragama Kristian pula akan dibawa balik ke Sibu hari ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian di Sibu. — DayakDaily