Hospital Miri larang kemasukan pelawat ke wad

Miri Hospital (file photo)

MIRI, 27 Jan: Pengurusan Hospital Miri mengambil keputusan untuk tidak membenarkan sebarang kemasukan pelawat ke hospital berkenaan berkuatkuasa serta merta.

Menurut kenyataan hospital berkenaan hari ini, larangan itu dikuatkuasakan susulan peningkatan jangkitan tempatan Covid-19 di Bahagian Miri pada ketika ini.

“Hospital Miri merupakan hospital ‘hybrid’ yang berperanan menguruskan kes positif Covid-19 selain menyampaikan perkhidmatan perubatan klinikal biasa dalam masa yang sama.


“Sehubungan itu, pihak pengurusan Hospital Miri mengambil langkah-langkahg proaktif untuk melindungi fasiliti ini demi kesejeahteraan awam dan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di Bahagian Miri serta utara negeri Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun, ujar kenyataan tersebut, seorang pesakit hanya dibenarkan bersama seorang penjaga sahaja dengan kemasukan serta keberadaan penjaga terbabit ditentukan oleh pengurusan wad terlibat.

Katanya, setiap penjaga yang dibenarkan untuk berada di wad dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan daripada pengurusan wad dari semasa ke semasa demi keselamatan dan kesihatan pesakit serta pertugas kesihatan di wad berkenaan.

Pada masa sama, orang ramai turut dirayu untuk sentiasa mematuhi protokol saringan kesihatan di dua laluan masuk ke hospital tersebut.

Katanya, orang awam yang mempunyai gelala berkaitan jangkitan Covid-19 serta tinggal di kawasan yang dikenakan perintah sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ disaran untuk tidak mengunjungi Hospital Miri bagi mengelakkan kesulitan kepada semua pihak.

“Pihak Hospital Miri memohon orang ramai untuk menghadkan kunjungan ke hospital ini dan menyarankan agar norma baharu terus diamalkan untuk melindungi diri sendiri, keluarga dan komoniti.

“Kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat diperlukan dalam memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19 ini,” tambah kenyataan itu. — DayakDaily