Hati bagai luluh selepas dihubungi anak sulung maut dalam operasi menyelamat — Ibu Yahya

Yahya Ali, anggota bomba berasal dari Kampung Tian Matu, Mukah.

KUCHING, Okt 4: Malang menimpa enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Selangor yang dipercayai lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.

Salah seorang daripada mangsa berasal dari Kampung Tian, Matu, Mukah, Allahyarham Yahya Ali, 24, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang, Selangor.

Keadaan semasa di Kuala Lumpur, upacara memberi penghormatan terakhir kepada enam anggota bomba yang maut.
Keadaan semasa di Kuala Lumpur, upacara memberi penghormatan terakhir kepada enam anggota bomba yang maut.

Sementara itu ketika dihubungi, ibu mangsa, Halimah Geronggong, 42, dalam nada sedih memberitahu, anak sulungnya daripada empat beradik itu sempat menghubungi dia dan memohon restu sebelum mangsa bersama lima anggota bomba lain melakukan operasi SAR.


Lebih memilukan ceritanya, mangsa berjanji akan menghubungi dia semula selepas anaknya itu selesai menjalankan operasi menyelamat tersebut pada malam sama.

“Saya menunggu dia (Yahya) menghubungi saya kembali, namun dia tidak menelefon saya sehingga saya mendapat panggilan mengenai insiden malang mengatakan anak saya antara enam anggota bomba yang lemas dalam operasi menyelamat malam pada pukul
12.30 tengah malam tadi.

“Hati saya bagaikan luluh selepas menerima berita yang menyedihkan ini apabila mengenangkan anak yang saya kasihi pergi buat selamanya,” katanya hari ini.

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi (baju merah) menziarahi keluarga Allahyarham Yahya Ali di Kampung Tian Matu.

Pegawai bomba lain yang terkorban dalam tragedi berkenaan ialah Mohd Fatah Hashim, 34 tahun; Izatul Akma Wan Ibrahim, 31 tahun; Mazlan Omarbaki, 24 tahun; Adnan Othman, 33 tahun; dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.

Difahamkan, jenazah Yahya akan diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Lapangan Terbang Subang ke Lapangan Terbang Sibu pada pukul 1 petang ini sebelum dibawa pulang ke Kampung Tian untuk urusan pengebumian. — DayakDaily