Hasil kajian lumut sebagai bahan api bio penerbangan dalam tempoh 6 bulan

Abang Johari ketika ditemui di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 JUN: Hasil kajian berhubung kegunaan lumut sebagai bahan api bio penerbangan akan diketahui dalam tempoh enam bulan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, hasil kajian itu nanti akan menentukan samada bahan api daripada lumut itu nanti boleh dikomersilkan atau sebaliknya.


“Kajian sekarang ialah kita hendak melihat samada minyak yang dihasilkan melalui lumut ini dapat dikomersilkan atau tidak.

“Jadi sekarang kajian sedang dibuat, mungkin dalam masa enam bulan kita dapat hasil kajian ini,” katanya ketika ditemui di Perasmian Expo Pendidikan Sarawak di Yayasan Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, jika hasil kajian mendapati ia adalah ekonomi dari sudut pengeluaran dan penanaman lumut maka ia akan dikomersilkan secara besaran.

Terdahul, beliau berkata Sarawak kini dalam usaha menubuhkan makmal penyelidikan lumut yang akan dijadikan sebagai bahan api bio penerbangan.

Katanya, kategori lumut yang ada di negeri ini boleh mengeluarkan minyak iaitu bahan api bio yang sesuai untuk Bahan Bakar Penerbangan Mampan atau Sustainable Aviation Fuel (SAF). — DayakDaily