Pasukan tentera patahkan cubaan seludup keluar motosikal ke Indonesia

Anggota tentera menemui motosikal curi di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia hari ini.

BAU, Feb 12: Pasukan tentera dari Batalion Ke-Sebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berjaya mematahkan satu cubaan menyelup keluar motosikal curi ke negara jiran di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di Ladang Sawit Kampung Sebubok di sini hari ini.

Seorang jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, pasukan tentera tersebut berjaya menemui sebuah motosikal jenis Honda Wave llCX yang menggunakan pendaftaran palsu.

Katanya, pasukan sama turut menemui seunit ekzos motosikal yang patah yang diletakkan dalam bakul motosikal itu.


“Bagaimanapun, sebuah motosikal berjaya dilarikan oleh dua suspek menuju ke arah Kalimantan Barat, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap sama menambah, hasil pemeriksaan mendapati terdapat kunci motosikal yang berbeza dan terdapat kesan cungkil di tempat duduk motosikal yang dipercayai motosikal tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram.

Katanya, anggaran jumlah rampasan dianggarkan berjumlah RM5,000 dan motosikal itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis kemudian mengesahkan bahawa motosikal tersebut adalah motosikal curi,” katanya. — DayakDaily