Brad Rantayy
MIRI, 16 Feb: Tiada rombakan dalaman berlaku membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri sehingga siasatan berhubung kes rogol tahanan bawah umur remaja perempuan yang berlaku di lokap Balai Polis Miri selesai, ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.
Ketika dihubungi hari ini beliau menegaskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil selepas proses siasatan kes tersebut selesai.
Siasatan dalaman berkaitan kes dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard(JIPS) Bukit Aman.
“Setakat ini belum ada rombakan dibuat kerana siasatan terhadap kes masih berjalan, kita tunggu sehingga siasatan selesai,” tegas Hakemal.
Pada Isnin, Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata bahawa jabatan berkenaan sudah menjalankan siasatan tatatertib bagi menyiasat kecuaian dan salah laku berhubung kejadian rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri yang berlaku pada Januari 9 lalu.
Dua laporan polis diterima berhubung kejadian rogol ke atas seorang tahanan remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkam berlaku pada jam 5.30 pagi pada Januari 9.
Dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap pada masa kejadian telah ditahan tugas bermula 14 Januari dan dotiduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada Feb 9 lalu.
Zamri dalam kenyataan akhbar semalam turut berkata, selain dua anggota terbabit, 11 pengawai dan anggota polis lain yang didapati gagal serta cuai menjalankan tugas turut akan diambil tindakan oleh Jabatan sama ada diturunkan pangkat atau dibuang kerja. — DayakDaily