Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, Mac 30: Bagi menyahut saranan kerajaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 14, pihak kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA) akan menganjurkan pertandingan ‘Sarawak Youth Stay At Home Esports Challenge’ secara atas talian.
Pertandingan itu terbuka kepada belia di Sarawak yang berumur 15 hingga 40 tahun dengan penganjuran pada April 10 hingga 11 untuk FIFA 20 bagi platform Play Station 4 dan April 12 hingga 13 bagi PUBG Mobile (solo) bagi platform Mobile Gaming.
SESA dalam kenyataan media hari ini berkata objektif penganjuran cabaran ini untuk menyediakan aktiviti yang produktif kepada belia sepanjang berada di rumah di samping menjadi pengisian masa lapang.
Tambahan pula, program seperti ini boleh membantu menggalakkan pembangunan Esports di peringkat akar umbi serta secara tidak langsung dijadikan platform latihan yang lebih kompetitif.
Pelaksanaan pertandingan ini turut membantu meningkatkan keyakinan dan semangat berdaya saing secara sihat di kalangan pemain baru serta membuka ruang kepada mereka untuk menyertai mana-mana kejohanan seterusnya.
Sasaran penyertaan bagi kedua-dua kategori adalah seramai 500 orang.
Para peserta adalah disarankan untuk memiliki talian Internet sendiri seperti WiFi/Unifi atau Mobile Data sendiri di rumah masing-masing.
Sekiranya terdapat peserta yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan iaitu ‘stay at home’ dan juga peraturan lain, maka pihak penganjur akan terus membatalkan penyertaan peserta tersebut.
Menurut SESA, wang kemenangan yang ditawarkan berjumlah RM10,400 merupakan insiatif pihak kementerian dalam usaha membantu belia-belia mengharungi kesukaran dan cabaran semasa.
Sepuluh peserta terbaik untuk kedua-dua kategori itu akan menggondol hadiah wang tunai dengan pemenang tempat pertama hingga kelima akan meraih RM2,000, RM1,000, RM800, RM600 dan RM300.
Manakala penyandang tempat keenam hingga ke-10 kedua-dua kategori akan meraih RM100 setiap seorang.
Borang pendaftaran boleh didapatkan pada link Google Form yang akan disediakan dengan tarikh tutup pendaftaran untuk FIFA 20 pada April 9 dan PUBG MOBILE pada April 11.
Untuk maklumat lanjut sila layari halaman Facebook ‘Sarawak Esports Association’ atau menghubungi Ramli (012-8947577) untuk FIFA20 dan Adi (016-9064526) untuk PUBG MOBILE. – DayakDaily