Taib sumbang keperluan, peralatan perubatan berjumlah RM120,500 kepada HUS

Mustapa (kiri) menyerahkan peralatan kesihatan kepada Dr Ngian. Turut kelihatan Dr Teo

KUCHING, 30 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, telah menyumbang pelbagai peralatan perubatan dan keperluan bagi kegunaan wad Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Astana Negeri Sarawak, menerusi kenyataan, berkata sumbangan adalah untuk membantu usaha merawat pesakit-pesakit Covid-19.

Menerusi kenyataan itu juga, Taib menyeru agar semua rakyat Sarawak dapat memberi kerjasama dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April.


“Kerjasama semua anak Sarawak amatlah diperlukan supaya petugas barisan hadapan dapat menumpukan perhatian terhadap pengesanan, rawatan dan membanteras wabak tersebut,” katanya.

Beliau juga menasihati agar orang ramai tidak mudah percaya dengan penularan berita-berita palsu di media sosial dan hanya mendapatkan maklumat dan laporan sahih daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa.

Taib telah menyumbang satu unit Portable Ultrasound Linear Probe, lima unit alat Anti DVT, dua Unit Fibreoptic Scope dan dua unit Syringe Pump yang berjumlah RM120,500 untuk kegunaan wad rawatan rapi.

Penyerahan sumbangan itu diketuai oleh Setiausaha Sulit Kanan, Datu Mustapa Han, dan telah diterima pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung serta ketua Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Rapi, Dr Teo Shu Ching.

Penyerahan diadakan di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Pek makanan dan air mineral yang untuk petugas-petugas sepanjang tempoh PKP.

Disamping itu, Taib turut menyumbang 700 pek makanan dan air mineral kepada Bilik Gerakan IPK Sarawak untuk diagihkan kepada petugas-petugas PDRM, ATM dan RELA yang bertugas melakukan sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP. — DayakDaily