Guru tawar pekerjaan tidak wujud dan ambil serta jual barang kemas dipenjara

Tertuduh (tengah) diiringi polis di Mahkamah Majistret Sibu.

Oleh Dean Adam

SIBU, April 10: Seorang guru dijatuhkan hukuman penjara selepas mengaku bersalah terhadap 15 pertuduhan kes penipuan.

Tertuduh berusia 52 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkenaan antara Oktober 2018 hingga Mac 2019.


Terdahulu, tertuduh, Febian Siges yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas kesemua 15 pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Majistret 3 Sibu, Stella Augustine Druce telah menjatuhkan hukuman penjara selama 4 tahun bagi 2 pertuduhan dan hukuman itu berjalan serentak.

Manakala Hakim Mahkamah Majistret 2, Muhammad Faizal Che Saad telah menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun bagi 13 pertuduhan dan hukuman berjalan serentak.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah ditangkap di Kuching pada Mac 27 lepas oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak.

Sebanyak 15 kertas siasatan terhadap tertuduh telah dibuka dengan melibatkan kerugian sebanyak RM25,300.

Manakala, 7 kertas siasatan kes berkenaan masih dalam proses siasatan.

Tertuduh melakukan kes penipuan ini dengan menawarkan mangsa mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam.

Tertuduh kemudian telah memperdayakan mangsa untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaunnya.

Hasil siasatan mendapati tawaran pekerjaan itu sebenarnya tidak wujud dan wang mangsa telah digunakan oleh tertuduh.

Tertuduh juga terlibat dalam kes penipuan dengan memperdayakan mangsa untuk menyerahkan duit dan barang kemasnya kononnya bagi tujuan mendapatkan keberkatan paderi di gereja, namun tertuduh menjual barangan kemas itu kepada individu lain. — DayakDaily