Guna nombor plat ‘fancy’, 56 saman dikeluarkan pada Ops Ambang Merdeka

Beberapa buah motorsikal yang dibawa ke Balai Traffik IPD Miri untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Sept: Padah menggunakan numbor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy number’, sebanyak 56 saman telah dikeluarkan kepada pesalah traffik dalam enam jam Operasi Ambang Merdeka (30 Ogos) di dua lokasi berasingan di sini.

Menggunakan numbor pendaftaran ‘fancy’ pada kenderaan adalah di bawah kesalahan Seksyen 14(4) dan Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 6(1)(LN173/69.

Manakala 10 saman dikeluarkan kerana kesalahan tidak memiliki lesen kenderaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, operasi yang bermula sekitar jam 6.30 petang itu telah diadakan di Jalan Miri-Pujut dan Jalan Marina.

Operasi berakhir sekitar jam 1 pagi.

Sebanyak 167 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi tersebut yang melibatkan 10 anggota dari Bahagian Polis Traffic IPD Miri.

“Daripada jumlah tersebut, 97 buah adalah motokar, kereta pacuan empat roda (23) dan motorsikal (47), ujar Hakemal.

Beliau menambah, pihak polis memandang serious kesalahan pengguna traffik yang cenderung menggunakan numbor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. — DayakDaily