Wanita warga emas melecur dalam kebakaran di Kabong

Keadaan bahagian dalam rumah yang musnah.

SARATOK, 1 Sept: Seorang wanita warga emas melecur di badannya selepas rumah yang didiaminya di Kampung Sessang Kabong terbakar awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar jam 4.32 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Seratok segera digerakkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan bahagian ruang tamu rumah yang didiami lima sekeluarga.

“Kejadian menyebabkan seorang daripada ahli keluarga berusia 70 tahun mengalami kecederaan melecur 60 peratus di badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sarikei menggunakan ambulans Klinik Kesihatan Nyabor.

Keadaan bahagian dalam rumah yang musnah.

Tambahnya juga, kebakaran telah memusnahkan 15 peratus rumah tersebut sebelum berjaya dipadamkan oleh penghuni sendiri dengan bantuan penduduk kampung.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily