Tekad mencapai mimpi menjadi pendorong Myra

Myra (hadapan, dua dari kiri) bersama ahli keluarganya di Sidang Istiadat Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan Ke-90 di Dewan Jubli Kampus UiTM Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, April 16: Mengejar impian mahu memiliki agensi pelancongan sendiri dan tidak terus bekerja dengan orang lain mendorong Myra Jack, 22, memilih pengajian Diploma Pengurusan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berkat usaha gigih mengejar impiannya, beliau menjadi graduan terbaik bagi pengajian diploma tersebut dan juga menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) pada Sidang Istiadat Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan Ke-90 di Dewan Jubli Kampus UiTM Samarahan di sini, semalam.

Beliau antara 43 graduan yang menerima ANC setelah mendapat Purata Nilai Gred (GPA) tidak kurang 3.50,


Keseluruhannya seramai 1,331 graduan terbahagi kepada 453 graduan menerima ijazah sarjana muda manakala 878 graduan menerima diploma di konvoskesyen tersebut yang dirasmikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dato Sri Zarinah Anwar.

Myra menunjukkan Diploma Pengurusan Pelancongannya dari UiTM.

Myra berkata selepas tamat pengajian, beliau mendapat pekerjaan di satu agensi pelancongan tempatan dan diberi tugas menguruskan tempahan tiket penerbangan dan penginapan hotel bagi pelanggan.

“Ketika ini saya sudah mula bekerja dengan orang lain bagi belajar langkah dan juga pelbagai prosedur bagaimana untuk mengendalikan sebuah agensi pelancongan sendiri,” katanya.

Bekas pelajar SMK St Teresa Kuching terbabit mendadahkan mendapat 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berikutan itu bapanya Jack Karim, 50, menasihatkannya supaya memilih pengajian diploma perakaunan di UiTM Sarawak.

Namun beliau tetap memilih menjadi pelajar pengajian Diploma Pengurusan Pelancongan di universiti terbabit bagi mengejar impiannya itu.

“Ini juga kerana bapa saya graduan perakaunan dan pakcik, makcik serta ramai saudara mara lain juga graduan perakaunan dari UiTM. Jadi saya mahu menjadi graduan bidang berlainan dari mereka dan dalam industri lain iaitu pelancongan,” katanya.

Myra yang mendapat GPA 3.78 dalam pengajian diplomanya sehubungan itu berazam selepas ini melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pelancongan di UiTM Sabah sebelum membuka agensi pelancongan sendiri.

Sementara itu Zarinah berkata UiTM kini dalam kalangan 28 peratus universiti terbaik di Asia dan ke empat terbaik di Malaysia bagi kadar kebolehpasaran graduannya.

Zarinah (duduk lima dari kiri) bersama pengurusan UiTM Sarawak dan graduan penerima ANC pada Sidang Istiadat Konvokesyen UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan Ke-90 di Dewan Jubli Kampus UiTM Samarahan.

“Selari dengan keputusan QS Graduate Employability Rangking 2019, dimana UiTM berada pada kedudukan ke-4 terbaik di Malaysia, bagi kadar kebolehpasaran graduan, seterusnya meletakkan UiTM dalam kalangan 28 peratus universiti terbaik di Asia,” katanya.

Zarinah berkata UiTM kini juga tersenarai di tangga ke-137 dalam QS Asia University Ranking 2019, iaitu peningkatan sebanyak 21 tangga berbanding tahun 2018.

“Pengiktifaran antarabangsa seperti ini membuktikan tahap kecemerlangan akademik yang tinggi yang sudah tentunya dapat meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan UiTM,” katanya. — DayakDaily