GPS utamakan kestabilan negara, tegas Abang Johari

Abang Johari (duduk dua dari kiri) pada sidang media di Kuching. Kelihatan juga Uggah (duduk kiri) dan Dr Sim (duduk tiga dari kiri).

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 3: Keputusan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri adalah untuk kebaikan negara, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari sebagai Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, ketidaktentuan politik yang berlarutan selama seminggu harus dihentikan dan negara harus kembali stabil.



“Pertamanya ini bukan masalah kita, ini adalah masalah mereka yang berebut-rebut hendak menjadi perdana menteri.

“Muhyiddin sendiri mengaku beliau bukan calon pada awalnya. Mereka memerlukan sokongan kita dan demi negara saya menyokong, sekurang-kurangnya negara ada perdana menteri,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah merasmikan Forum Keharmonian Antara Kaum di Auditorium Pusat Penerangan Islam Sarawak (SIIC) di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, GPS tiada pilihan lain selain menyokong Muhyiddin dan beliau juga telah lama mengenali Muhyiddin.

“Kita bersama-sama di dalam pemuda dahulu dan saya juga mengenali Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Di antara mereka, kita pilih Muhyiddin.

“Sekarang barulah rakyat sedar kenapa kita meninggalkan Barisan Nasional (BN). Kalau kita masih di dalam BN, kita terikat dengan keputusan mereka.

“Sekarang kita (GPS) bersendirian, terpaksa cari saya walaupun saya berada di Sungai Asap,” katanya lagi.

Menurut Abang Johari, beliau menerima panggilan dari Istana Negara pada jam 4 petang hari Sabtu (Feb 29) lepas setelah balik menghadiri program bersama rakyat di Sungai Asap dan pada ketika itulah beliau menyatakan pendirian GPS menyokong Muhyiddin.

“Kemudiannya pada jam 5 petang, Yang di-Pertuan Agong mengumumkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Dengan kata lain GPS pertamanya telah menyelamatkan negara dan yang kedua kita tak boleh membiarkan negara berada di dalam keadaan ketidaktentuan.

“Inilah sebab kita membuat keputusan sedemikian,” ujar beliau.

Menjawab soalan berhubung tuntutan Sarawak terhadap perkara yang berkaitan pendidikan dan sama ada ahli Parlimen Sarawak akan diberi jawatan menteri, Abang Johari berkata perkara tersebut bersama tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibincangkan kemudian.

Turut hadir pada sidang media Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily