Abang Johari: Wakil Unifor sertai kursus keharmonian agama di Universiti Oxford

Abang Johari (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama peserta-peserta di Forum Keharmonian Antara Agama Peringkat Negeri Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 3: Sarawak membuka penyertaan wakil-wakil dari agama lain selain Islam untuk menyertai kursus pendek berkaitan keharmonian antara agama di Universiti Oxford, England.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kursus itu bertujuan mempromosikan hubungan baik antara penganut agama dan Sarawak diberikan tiga slot penyertaan setiap tahun.


Justeru, beliau meminta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) mengemukakan calon-calon yang sesuai untuk menyertai kursus tersebut.

“Kita memiliki persefahaman yang baik dengan Pusat Islam Universiti Oxford dan patronnya ialah Putera Wales.

“Setiap tahun kita diberikan tiga slot penyertaan untuk menghadiri kursus pendek selama tiga bulan berkaitan keharmonian hubungan antara penganut agama dan bidang lain.

“Sekarang kita membuka penyertaan kepada wakil-wakil dari agama lain dan Unifor diharap boleh mengemukakan calon-calonnya,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Forum Keharmonian Antara Agama Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Pusat Penerangan Islam Sarawak (SIIC) di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, peserta kursus hanya perlu menghadiri ceramah termasuk yang berkaitan dengan teori baharu pembangunan di seluruh dunia dan akhirnya mereka akan menerima sijil dari Universiti Oxford.

Forum Keharmonian Antara Agama diadakan sempena dengan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2020.

Ahli-ahli forum yang terlibat ialah Firdaus Wong sebagai ahli panel mewakili Agama Islam, Chin Chia Chau (Baha’i), Gurdial Singh (Sikh), Venerable Bhikkhuni Dhammika (Buddha), Balachandran Annamalai (Hindu), Archbishop Simon Poh (Kristian) dan Jong Yeng Hui mewakil Agama Tao.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah selaku menteri bertanggungjawab menjaga Unifor. — DayakDaily