GPS tiada agenda untuk keluar Malaysia

Abang Johari (lima dari kiri) menyerahkan surat warta Pimu'ung Singai kepada wakil penduduk Singai di Majlis Penyerahan Warta Pimu'ung Singai dan Perasmian Karnival Singai 2019 di Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Singai di Kampung Sudoh,

BAU, 19 Jan: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan yang penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS), bagi mengantikan Barisan Nasional (BN) di Sarawak, ada kaitan dengan agenda membawa negeri keluar dari Persekutuan Malaysia.

“Percayalah, penubuhan GPS ini cara kita membangunkan negeri kita, bukan bermakna kita (Sarawak) mahu keluar dari Malaysia,” kata ketua menteri tersebut ketika Majlis Penyerahan Warta Pimu’ung Singai dan Perasmian Karnival Singai 2019 di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan penubuhan GPS adalah untuk memudahkan usaha melihat semula dan menuntut kembali hak Sarawak yang telah terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ini selain GPS menjadi landasan untuk anak Sarawak memperhebatkan perjuangan pembangunan negeri.


“Seperti kata Tok Nan (bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem), bukan bermakna dalam Malaysia kita (Sarawak) tidak boleh mengaturkan diri kita sendiri, kita masih dalam Malaysia tapi apa hak kita ialah hak kita,” katanya.

Abang Johari (duduk tiga dari kanan) bersama penduduk Singai, Bau yang dalam Majlis Penyerahan Warta Pimu’ung Singai dan Perasmian Karnival Singai 2019.

Selain itu, beliau menegaskan yang parti politik Sarawak juga kini lebih bebas menuntut pengembalian hak negeri dan suara pemimpin politik Sarawak juga tidak lagi dikekang oleh undang -undang darurat termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Dahulu dibawah undang-undang darurat ada kekangan, kita tak boleh melontarkan apa sahaja (tuntutan), kamu akan kena ambil tindakan ISA. Jadi pemimpin kita dahulu sukar juga mahu bersuara,” katanya.

Abang Johari berkata undang-undang darurat terbabit telah mengekang pemimpin Sarawak dari bersuara sejak zaman Perikatan dan berterusan dibawah zaman BN sehinggalah undang-undang terbabit ditarik balik pada 2011.

“Jadi dalam kerangka (politik) yang agak bebas sekarang, kita rasa sudah tiba masanya bagi Sarawak dibangunkan berasaskan polisi Sarawak dan tidak terkait dengan parti-parti Kuala Lumpur,” katanya.

Abang Johari juga melahirkan rasa yakin rakyat Sarawak dapat menguruskan sendiri negeri ini melalui GPS. — DayakDaily