GPS anggota PN, usah dolak-dalik, kata Abun

Abun Sui Anyit

KUCHING, MEI 27: Keadilan Sarawak menggesa Gabungan Parti Sarawak(GPS) untuk tidak lagi berdolak–dalik dari kenyataan bahawa mereka sememangnya anggota Perikatan Nasional(PN).

Ketua Penerangan Dan Komunikasi MPN Keadilan Abun Sui berkata, ia jelas setelah ahli-ahli parlimen GPS menerima habuan mereka daripada PN bersama–sama dengan Umno, kumpulan Azmin Ali, PAS, PBS dan parti kecil lain.

“Apa pun bentuk hubungan GPS dengan PN yang mereka akui dan jelaskan kepada rakyat, tidak ada bezanya kerana mereka telah menerima dan menikmati habuan masing–masing daripada PN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Abun, GPS hanya pandai mengambil kesempatan menikmati keuntungan di mana kalau situasi menguntungkan mereka, mereka terima.

Sebagai contoh katanya, GPS menerima jawatan menteri, timbalan menteri dan ketua atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut beliau, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)paling dominan di mana hampir semua jawatan menteri dan timbalan menteri dibolot oleh mereka tetapi tidak mahu mengaku GPS anggota PN.

“GPS juga tidak mahu terima kalau mereka dikaitkan dengan UMNO yang pemimpinnya menghadapi ratusan pertuduhan di mahkamah kerana rasuah.

“Begitu juga GPS tidak mahu dikaitkan dengan PAS yang berjuang untuk menegakkan Hukum Hudud di Malaysia termasuk di Sarawak yang sangat ditentang oleh rakyat Sarawak,” katanya.

Ujar Abun lagi, kalau benar GPS bukan anggota PN, mengapa tidak menolak sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke – 8.

“Malah GPS juga boleh memilih untuk berkecuali ketika pembentangan Pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Malaysia tahun 2019 yang lepas.

“Kenapa tidak berbuat begitu semasa penentuan Perdana Menteri Malaysia Ke-8 yang lepas, kalau benar GPS tidak mahu menganggotai PN?” tanya Abun.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerjasama GPS dengan Umno dan PAS serta kumpulan serpihan Keadilan mengakibatkan hak Sarawak telah hilang.

Jelas Abun, hak untuk mencabar Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) di Mahkamah telah mereka kuburkan.

“Masakan tidak kerana butir–butir perjanjian antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Petroliam Nasional (PETRONAS) juga masih terus disembunyikan oleh Kerajaan Sarawak daripada rakyat Sarawak,” ujar Abun.—DayakDaily