Geng curi 55 kotak berisi botol minuman keras tumpas

Suspek curi kotak berisi botol minuman leras diberkas.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Julai: Padah mencuri 55 kotak minuman keras berbagai jenis dari sebuah stor Bistro di Batu Niah baru-baru ini, sembilan lelaki diberkas polis untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kelibat suspek memasuki stor tersebut berjaya dirakam CCTV yang membawa kepada penahanan mereka dalam dua operasi pada malam Selasa.


Tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pemilik Bistro selepas diberitahu mengenai kejadian.

Kesemua suspek ditahan dalam dua operasi berasingan di Batu Niah dan Kampung Lusut Taman Tunku oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri itu sekitar 6.30 petang sehingga 8.30 malam itu.

Polis turut menjumpai dua buah kotak minuman keras dan tiga buah kereta disyaki telah digunakan untuk mengangkut kotak-kotak berisi botol minuman keras dari stor Bistro terbabit.

Hakemal berkata, kesemua suspek yang berusia antara 20 sehingga 38 tahun itu kini sedang ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, beberapa kotak berisi botol minuman keras yang telah dicuri itu, sempat dijual suspek sebelum mereka ditahan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily