Gara-gara mulut, badan binasa bagi wanita ditahan polis

Suspek wanita (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Julai: Seorang wanita ditahan polis kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap jiran sebelah rumahnya hari ini di Kampung Pasir Lutong.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan sekitar jam 11 pagi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri susulan laporan mangsa.

Turut ditemui semasa tangkapan ialah sebilah parang sepanjang 18 inci.

Difahamkan dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 1.50 pagi tadi (4 Julai), suspek tiba-tiba melakukan provokasi secara lisan terhadap pengadu yang juga seorang wanita sehingga berlaku pergaduhan diantara kedua mereka.

Dalam kejadian, suspek sempat mengambil sebilah parang dan cuba mencederakan pengadu berusia 24 tahun, namun sempat dihalang oleh ibunya.

Terdahulu, pengadu telah menegur suspek yang pada waktu itu sedang duduk di depan pagar rumahnya.

Pengadu telah terbangun apabila terdengar bunyi bising dan menasihatkan suspek agar pulang, namun pengadu ‘naik angin’ dan mula melakukan provokasi sehingga tercetusnya pergaduhan.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.— DayakDaily