Gara-gara berang ditagih hutang, suspek dan 7 lelaki ditahan polis Miri

Antara suspek yang ditahan tengahari tadi (5 Mac, 2021).

MIRI, 5 Mac: Berang apabila diminta untuk melunaskan hutang sebanyak RM3,500, seorang lelaki bersama tujuh rakannya membelasah tiga individu awal pagi tadi berhadapan sebuah pusat hiburan di Miri Waterfront.

Susulan kejadian, mangsa berusia 22 tahun bersama dua rakannya mengalami kecederaan pada badan akibat dipukul menggunakan kayu besbol dan batang paip.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 1.15 pagi tadi.


Sebelum kejadian, mangsa telah menelefon suspek yang berusia 17 tahun untuk bersemuka menyelesaikan hal hutangnya itu.

Suspek telah mengarahkan mangsa menunggunya di depan pusat hiburan tersebut, sebelum muncul bersama-sama tujuh rakannya dalam tiga buah kenderaan – Toyota Revo, Proton Wira dan Honda EG.

Tiga suspek lain telah keluar daripada kereta Toyota Revo dengan bersenjata batang paip dan kayu besbol lalu memukul ketiga-tiga mangsa tadi.

Siasatan awal mendapati suspek telah berhutang kepada mangsa sejak Januari 3 lepas.

Susulan kejadian, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan kesemua lapan suspek di beberapa lokasi berasingan di sekitar Miri sekitar jam 1 petang hingga 1.45 petang dalam operasi cantas.

Kesemua suspek berusia sekitar 17 hingga 19 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. — DayakDaily