Filem ‘Babi’: MCMC gesa Seniman tampil kemukakan aduan

MCMC Logo baharu

KUCHING, 13 Dis: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan terhadap pengeluar filem ‘Babi’ jika terdapat unsur pelanggaran kepada peruntukan undang-undang.

Justeru, MCMC meminta Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk tampil mengemukakan aduan kepada pihak Suruhanjaya bagi membolehkan penilaian dibuat terhadap kandungan filem kontroversi arahan Wee Meng Chee atau Namewee itu.

“Proses penelitian terhadap kandungan yang diadu boleh dibuat berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.


“Selain AKM, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang lain yang terpakai berkaitan dengan kandungan atau penyiaran kandungan,” menurut MCMC menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas MCMC, sekiranya hasil penelitian dan siasatan yang dijalankan mendapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh agensi yang berkenaan selaras kesalahan yang dilakukan mengikut undang-undang.

Semalam, Seniman telah membuat laporan polis terhadap filem tersebut.

Pada 19 Nov, 2020 lalu, MCMC telah berhubung dengan pihak YouTube berhubung dengan trailer filem ‘Babi’ yang dimuat naik dalam saluran YouTube milik Namewee, namun masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka yang berpangkalan di luar negara. — DayakDaily