Fazzrudin sifatkan See dalam fasa ‘denial’ Perjanjian Penyelesaian Komersial

Fazzrudin Abdul Rahman
Advertisement

KUCHING, 12 Dis: Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan Adun Batu Lintang See Che How telah menidakkan usaha kerajaan negeri untuk mengambil bahagian secara aktif dalam industri minyak dan gas.

Ia setelah pemimpin pembangkang itu mengkritik Perjanjian Penyelesaian Komersial di antara kerajaan Sarawak menerusi Petros dan Petronas yang ditandatangani pada 7 Disember lepas.

“Kritikan yang dilempar menunjukkan bahawa See sekarang sedang berada dalam fasa ‘denial’ mengenai usaha kerajaan untuk mendapatkan bukan sahaja hak penglibatan negeri Sarawak dalam industri minyak dan gas tetapi juga untuk merancakkan lagi pembangunan industri tersebut.

Advertisement

“Perjanjian itu membolehkan Petros memainkan peranan yang lebih besar dalam industri melalui kerjasama dengan Petronas dan sekaligus kita akan mampu membuka peluang pekerjaan yang luas di Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Fazzrudin lagi, See seolah-olah mahu kerajaan Sarawak untuk mengambil tindakan drastik, agresif dan tidak mahu berunding tanpa mengambil kira faktor-faktor lain.

Katanya, ia bukan semudah itu untuk Sarawak terus mengambil alih tugas dan mengeluarkan Petronas kerana negara mempunyai proses undang-undang.

“Jika ia amat senang untuk dilakukan tanpa memikirkan faktor masa seperti yang didesak oleh beliau (See Chee How), kenapa semasa beliau berada dalam kerajaan persekutuan selama 22 bulan tidak melaksanakan perkara ini sedangkan ia tercatat dalam manifesto Pakatan Harapan,” ujar Fazzrudin lagi.

Jelas beliau, kerajaan negeri mengambil langkah yang selamat dan bijaksana dengan mempertimbangkan pelbagai faktor-faktor sebelum membuat keputusan mengikut kemampuannya demi manfaat rakyat.

Selain menyatakan bahawa perjanjian itu tidak menguntungkan, See baru-baru ini juga berkata ia amat mengecewakan kerana kerajaan negeri seolah-olah telah mengakui perlembagaan dan peruntukan di bawah Akta pembangunan Petroleum 1974. — DayakDaily

Advertisement