Fazzrudin: Pemimpin Bersatu hanya retorik dan tiada kualiti 

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING JULAI 8:  Kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang mengatakan Sarawak tidak berkongsi kekayaan negeri dengan rakyat adalah satu lagi contoh politik kotor dan retorik.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) yang juga Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman tegas menyifatkan kenyataan itu sebagai gambaran seorang menteri yang tiada kualiti.

“Ini satu lagi contoh Menteri yang tidak berkualiti dan hanya berpolitik secara kotor dan retorik.


“Beliau mempersoalkan kekayaan Sarawak tetapi sebagai kerajaan persetukuan, peruntukan kepada sikit sahaja.  Beliau datang ke Sarawak dan memberi sedikit peruntukan dan terus bersikap sombong.

“Ini contoh kenyataan kurang pintar, retorik dan politik berniat jahat,’kata Fazzrudin menerusi kenyataan media hari ini.

Memetik berita Bernama, Redzuan yang juga Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) Sarawak mengeluarkan kenyataan tersebut di satu sidang media di Kuching kelmarin.

Fazzrudin dalam kenyataan beliau mempersoalkan tujuan Redzuan datang ke Sarawak yang hanya memberi sedikit peruntukan dan terus bersikap sombong.

Redzuan kata Fazzrudin lupa bahawa sebelum ini pun rakan-rakan beliau hanya berpolitik secara retorik dan menipu rakyat. 

“Sebelum ini bermacam-macam teori dikongsi oleh mereka tentang bagaimana hendak menghapuskan tol, menghapuskan PTPTN, mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dan sebagainya tetapi bila sekarang mengurus Negara, teori hanya tinggal teori.

“Perkara yang sama juga dilakukan oleh Menteri yang kurang bijak ini. Kalau datang ke Sarawak, hormatilah rakyat,” tegas Fazzrudin. 

Kata Fazzrudin, rakyat Sarawak tidak mahu mendengar politik-politik sebegini tetapi lebih mahu mendengar perancangan-perancangan kerajaan Persekutuan untuk seluruh rakyat Sarawak.

Di samping itu, Fazzrudin turut mempersoalkan keupayaan Redzuan untuk menguruskan Bersatu di Sarawak setelah beliau pun tidak dapat memberi komitmen masa untuk memutuskan barisan kepimpinan Bersatu Sarawak.

“Sebaliknya terpaksa menunggu keputusan Pusat, tetapi beliau tetap menunjuk lagak kononnya mahu membantu Sarawak,”ujar Fazzrudin lagi. — DayakDaily