Fatimah: Permintaan untuk mengelaskan semula pusat urutan golongan cacat penglihatan akan dipertimbangkan

Fatimah (baju putih) menyampaikan bantuan makanan kepada golongan cacat penglihatan.

KUCHING, 1 Dis: Kerajaan Sarawak akan membincangkan permohonan supaya pusat urutan golongan cacat penglihatan di negeri ini tidak diklasifikasikan sebagai pusat hiburan yang diarahkan ditutup bagi menangani Covid-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pihaknya sudah menerima surat permohonan terbabit yang dikemukakan Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak, Isak Ngau.

“Ini memang kita akan bincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). Selalunya ini akan ditentukan oleh JPBNS dan kita boleh bermesyuarat bila-bila masa,” katanya bila ditemui wartawan selepas menyampaikan bantuan makanan kepada seramai 25 Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan di Kompleks Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Fatimah berkata permohonan itu perlu dibincangkan JPBNS dahulu kerana biasanya terdapat perkara perlu dipertimbangkan termasuk risiko penyebaran Covid-19 melalui sentuhan ketika melakukan urutan badan.

Katanya, selain itu, golongan cacat penglihatan yang bekerja sebagai tukang urut di pusat demikian juga tidak dapat melihat samada pelanggan mematuhi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) seperti memakai pelitup muka atau mengambil suhu badan.

“Kita perlu seimbangkan antara memastikan mereka (golongan cacat penglihatan) ini dari segi pekerjaan dan mendapat pendapatan serta pada masa sama memastikan bahawa keselamatan mereka dijaga,” katanya.

Fatimah berkata ketika ini golongan cacat penglihatan yang bekerja termasuk sebagai tukang urut ada menerima elaun pekerja cacat sebanyak RM400 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala yang tidak bekerja menerima RM350 sebulan.

Sementara itu, Isak berkata pusat urutan yang dikendalikan mereka tidak sepatutnya terus diklasifikasikan sebagai pusat hiburan kerana mereka bukan menyediakan perkhidmatan hiburan tetapi berunsurkan kesihatan.

“Kebanyakan kami juga mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diperakui oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia,” katanya dan berharap pihak Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak dapat membawa permohonan mereka itu bagi dibincangkan JPBNS. — DayakDaily