Fatimah mohon kakitangan taska dan tadika divaksinasi segera

Keutamaan juga harus diberikan kepada kakitangan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Early Intervention Centre (EIP). Foto Fail

KUCHING, 23 Jun: Jawatankuasa vaksinasi Sarawak diminta untuk memberi keutamaan kepada kakitangan taska dan tadika untuk menerima suntikan vaksin.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keutamaan juga harus diberikan kepada kakitangan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Early Intervention Centre (EIP).

Katanya, ia penting untuk memastikan pusat-pusat tersebut dapat beroperasi dalam kadar segera.


“Kita mohon agar penyelia, petugas, guru, pengasuh serta pendidik di taska dan tadika diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin.

“Ini terutamanya di Bahagian Kuching supaya pertimbangan wajar diberikan kerana ada taska ini beroperasi kerana menyediakan perkhidmatan kepada anak anak petugas barisan hadapan.

“Dengan suntikan vaksin, ia memberi keyakinan pada ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke pusat tersebut,” katanya pada sidang media selesai Mesyuarat Majlis Wanita Dan Keluarga Sarawak yang diadakan secara maya hari ini.

Bagi PDK dan EIP, Fatimah berkata pusat tersebut tidak dapat beroperasi pada masa sekarang akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pelatih-pelatihnya tidak dapat mengikuti terapi dan rawatan seperti sedia kala.

Berhubung suntikan untuk golongan gelandangan, Fatimah berkata kerajaan berusaha memberi suntikan vaksin secara ‘single dos’.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa sehingga kini sebanyak 98 pusat pemberian vaksin (PPV) telah diwujudkan di seluruh Sarawak.

“Sehingga 20 Jun, seramai 1.5 juta populasi telah berdaftar untuk program vaksinasi, dan daripada itu sejumlah 610, 485 populasi telah divaksin iaitu bersamaan 29.9 peratus daripada jumlah berdaftar.

“Manakala pada 21 Jun, seramai 59,256 telah diberi vaksin pada hari tersebut, bermakna kita dapat capai sasaran menjelang Ogos,” katanya. — DayakDaily