Fatimah memberi jaminan inisiatif Kenyalang Gold Card masih diteruskan

Fatimah (tengah) menunjukkan kad KGC bersama warga kementeriannya ketika sidang media Program Penyerahan Kad KGC dan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) di Wisma Kebajikan, Petra Jaya.

KUCHING, Mei 19: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak menafikan yang kerajaan Sarawak telah menghentikan perlaksanaan inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC).

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah malahan memberi jaminan yang inisiatif kerajaan negeri itu bagi membantu warga emas anak Sarawak berusia 60 tahun keatas itu masih berterusan.

“Kami mahu memberikan jaminan kepada orang ramai yang KGC masih diteruskan (di Sarawak) dan kami masih menerima permohonannya (dari warga emas),” katanya ketika mengadakan sidang media Program Penyerahan Kad KGC dan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) di Wisma Kebajikan, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Di majlis itu sebanyak 180 keping kad KGC yang telah dicetak telah diserahkan kepada Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Batu Lintang, Sih Hua Tong yang mewakili 180 penerima kad tersebut.

Fatimah berkata orang ramai di media sosial kerap bertanyakan tentang perlaksanaan inisiatif kerajaan negeri tersebut selepas acara membantu warga emas memohonnya telah rancak diadakan sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif KGC juga telah dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada sambutan Hari Wanita Sedunia, di Pusat Konvenysen Borneo Kuching (BCCK) pada Mac 9 lepas.

“Permohonan warga emas bagi mendapatkan kad KGC itu hanya berkurangan selepas itu akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP),” kata Fatimah.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang membantu warga emas memohon kad itu selepas ini supaya memastikan butiran penting seperti nombor kad pengenalan mereka tidak tercicir semasa mengisi borang permohonan kad.

Selain itu, beliau mendedahkan sehingga Mei 18 lepas, keseluruhannya sebanyak 146,876 permohonan bagi mendapatkan kad KGC telah diterima pihaknya dari warga emas di negeri ini.

Jumlah itu bersamaan 43.91 peratus dari keseluruhan 334,500 warga emas anak tempatan di Sarawak dengan bahagian Kuching mencatatkan warga emas teramai memohon kad itu, diikuti bahagian Miri dan bahagian Sibu.

Manakala sebanyak 21,000 keping kad KGC telah dapat dicetak dan sebanyak 56 rakan strategik dari sektor komersil di negeri ini menyertai inisiatif itu sebelum tertangguh berikutan PKP mula dikuatkuasakan.

“Antara keistimewaan memiliki kad itu ialah warga emas boleh mengunakannya bagi mendapatkan diskaun, rebat, yuran percuma atau potongan harga ketika membeli barangan atau mengunakan perkhidmatan serta manfaat lain dari rakan strategik,” tambah Fatimah.

Beliau berkata manfaat lain ialah Bantuan Ihsan Kematian (BIK) sebanyak RM3,000 kepada waris pegang kad KGC yang meninggal dunia dan tidak ada menerima bantuan kebajikan pihak lain bagi membawa balik jenazah dan menguruskan pengebumian. — DayakDaily