Fatimah berharap Muhyiddin menarik balik keputusan KDN

Fatimah (dua kiri) menyampaikan piala kemenangan pertandingan karaoke kepada salah seorang peserta OKU Got Talent 2019.

KUCHING, 27 Julai: Datuk Seri Fatimah Abdullah berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik keputusan tidak meneruskan kewujudan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak dibawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak tersebut percaya kemungkinan besar keputusan KDN hanyalah disebabkan politik dan berharap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan membantu untuk mengubahnya.

”Saya percaya kemungkinan besar (kewujudan jawatankuasa khas terbabit dipolitikkan), ada tangan-tangan lembaga yang menyebabkan perubahan dari segi keputusan ini, tetapi saya masih berdoa dan berharap yang menteri (Muhyiddin), bila datang ke Kuching nanti, membalikkan keputusan itu,” katanya selepas menghadiri penutupan Program OKU Got Talent 2019, di sini, hari ini.

Fatimah mengulas surat dari KDN bertarikh 22 Julai lepas, yang memaklumkan sudah menubuhkan satu pasukan petugas mengendalikan kes permohonan status kewarganegaraan anak yang tertunggak dari semua negeri. Surat tersebut juga menyatakan KDN tidak lagi memerlukan Jawatankuasa Khas Sarawak itu.

“Saya mahu fikir ini bukan keputusan dibuat Tan Sri Muhyiddin sebab bila saya dan dua menteri muda dalam jawatankuasa khas itu berjumpa dengannya sebelum ini, beliau katanya ‘ok’, apa baik kepada Sarawak sepatutnya diteruskan dan ada perkara tidak perlu dipolitikkan,” katanya.


Beliau sehubungan itu sedih kerana surat KDN terbabit menyatakan keputusan sebaliknya dan tiada apa boleh dilakukan pihaknya, kerana penubuhan jawatankuasa khas terbabit adalah sepenuhnya dibawah budi bicara Menteri Dalam Negeri.

“Kita dengar juga dahulu apa penjelasannya (Muhyiddin) nanti,” katanya berikutan Menteri Dalam Negeri itu yang dijadualkan melawat Sarawak esok (Ahad, 28 Julai).

Fatimah menjelaskan tujuan penubuhan jawatankuasa terbabit adalah bagi mempercepatkan permohonan status kewarganegaraan tertunggak bagi anak rakyat negeri ini yang bermasalah disebabkan perkahwinan tidak teratur dengan warga asing atau pengangkatan anak yang tidak teratur.

Katanya jawatankuasa khas itu mula ditubuhkan pada Oktober 2016 dibawah budi bicara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Sehingga Jun tahun ini, 723 permohonan mendapatkan status kewarganegaraan anak telah diterima jawatankuasa khas itu dan sebanyak 127 permohonan terbabit diluluskan KDN. — DayakDaily