Faktor cuaca punca bekalan bawang merah import berkurangan; harga naik

Joe Azmi (kiri) bercakap kepada media selepas mengadakan tinjauan di pasaraya Emart Riam hari ini (8 Feb, 2021).
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Feb: Faktor cuaca menjadi punca utama bekalan bawang merah import India berkurangan dari negara pembekal iaitu negara India, sekaligus menyebabkan kenaikan harga secara mendadak pada komoditi tersebut di sini.

Ini dijelaskan ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Miri Joe Azmi Jamil hari ini selepas membuat tinjauan perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina  (SHMMP) 2021 di Pasaraya Emart di Riam.

Advertisement

Kekurangan bekalan bawang merah import India berlaku sejak tahun lepas telah menimbulkan kegusaran para pengguna.

Situasi ini telah menyebabkan kenaikan harga secara mendadak bawang merah import India walaupun bekalan hanya dalam kuantiti kecil.

Joe Azmi berkata, pihaknya akan terus memantau bekalan dan bekerjasama dengan agensi lain seperti FAMA.

Dalam masa yang sama, Joe Azmi juga berkata bekalan limau Mandarin untuk perayaan Tahun Baru Cina di sini adalah mencukupi.

“Kita tidak mempunyai masalah dengan bekalan limau Mandarin kerana ia mencukupi,” jelasnya.

Mengulas tinjauannya dalam perlaksanaan SHMMP 2021 yang dibuat pada pagi ini di pasaraya Emart di Riam, Joe Azmi berpuas hati kerana kesemua 16 barangan yang disenaraikan untuk program tersebut adalah terkawal ,malah ada yang ditawarkan pada harga jauh lebih murah.

SHMMP 2021 ini berkuatkuasa pada Februari 8 sehingga 16 ini sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Kementerian telah menetapkan SHMMP TBC 2021 bagi Sarawak iaitu harga ayam hidup sekilogram RM6 (borong) dan RM 6.70 (runcit); ayam standard (RM7.60- borong/RM8.50-runcit); ayam super (RM8.50-borong/RM9.50- runcit); telur ayam gred A (RM0.37 sen sebiji-borong/RM0.39 runcit); telur ayam gred B (RM0.36/RM0.38 sen); dan telur ayam gred C (RM0.35/RM0.37 sen sebiji).

Bagi kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Kubis Beijing) ia ditetapkan pada RM3.00 bagi harga borong dan RM4.00 harga runcit; cili merah (RM18/RM20); tomato(RM6.00/RM7.00); bawang putih (RM7.00/RM8.00); dan ubi kentang import China (RM2.50/RM3.50).

Ikan bawal putih (berat antara 200gram hingga 400 gram seekor) ditetapkan pada harga RM37.00 harga borong dan RM40 sekilogram. Udang putou besar (berat antara 41 ekor 60 ekor) dotetapkan pada harga RM32 /RM 35 sekilogram.

Beliau turut mengingatkan penjual dan pelanggan di daerah ini untuk sentiasa mematuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Seperti agensi penguatkuasa yang lain, KPDNHEP juga diberi tangungjawab untuk mengeluarkan kompoun kepada sesiapa yang gagal mematuhi SOP ini di tempat-tempat awam,” jelasnya. — DayakDaily

Advertisement