Sebuah stor haram penyimpanan diesel di Krokop digempur

Anggota KPDNHEP Miri bersama PGA Miri menyerbu stor haram tersebut selepas melakukan risikan dua hari.

MIRI, 21 Okt: Sebuah stor haram di Krokop disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan diesel yang diseleweng diserbu pagi tadi (Jumaat).

Serbuan dilakukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri bersama Pasukan Gerakan Am Miri (PGA) susulan risikan selama dua hari selepas satu posting viral penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak dalam Facebook Miri Comunity.

Menurut Ketua KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil, serbuan dilakukan pada jam 11.40 pagi tadi.


“Pemriksaan lanjut, mendapati stor penyimpanan tersebut digunakan sebagai tempat mengumpul diesel yang disedut semula daripada tangki asal kenderaan yang secara berulang alik ke stesen minyak sekitar Bandaraya Miri,” ujarnya.

Turut ditahan untuk siasatan lanjut empat lelaki warga tempatan yang berusia sekitar 20-an sehingga 30-an.

Joe Azmi berkata, stor haram tersebut dijadikan tempat mengumpul minyak diesel bersubsidi sebelum dijual ke pengguna industri.

“Siasatan lanjut mendapati premis tidak memiliki sebarang kebenaran daripada pengawal berhubung pemilikan diesel tersebut,” ujarnya.

Antara barangan yang dirampas semasa serbuan tersebuy ialah sebuah lori tangki ; diesel dianggarkan sebanyak 12,800 liter (RM27,520); dua buah kenderaan pacuan empat roda, tiga kunci kenderaan; sembilan unit pam elektrik dan hos pelbagai saiz (9 unit).

Nilai keselurahan rampas adalah sebanyak RM290,520. — DayakDaily