Fadillah: Pakej rangsangan ekonomi Prihatin ‘pengumuman paling berani’

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 27 Mac: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu “pengumuman paling berani”.

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof berpendapat pakej rangsangan ekonomi tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, dalam keadaan negara berdepan cabaran penularan wabak Covid-19 dan ekonomi dunia yang kian merudum.

Menteri Kerja Raya tersebut mendakwa PRIHATIN adalah satu pengumuman yang sangat ditunggu-tunggukan oleh rakyat jelata yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan langkah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak berkenaan.


“Ini terbukti dengan jumlah peruntukan paling besar iaitu RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, selain RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, manakala RM20 bilion telah diumum dalam pakej ransangan sebelum ini.

“Pakej yang diumumkan perdana menteri itu juga menyentuh dan menyantuni seluruh lapisan rakyat tanpa ada yang terpinggir, termasuk jauh di hulu dan pedalaman Sarawak dan Sabah.

“Ini adalah satu pendekatan yang jelas mendahulukan rakyat dalam mendepani cabaran besar yang dihadapi negara ketika ini,” kata Fadillah dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata pakej ini bukan sahaja memanfaatkan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah atau B40, malah keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) seperti Bantuan Prihatin Nasional iaitu tunai secara “one-off” dengan peruntukan hampir RM10 bilion, serta banyak lagi insentif lain termasuk pengecualian sewaan dan penangguhan bayaran yang pastinya akan membantu meringankan beban rakyat.

Tambah Fadillah lagi, pengumuman bantuan RM500 untuk lebih 1.5 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk yang bekerja secara kontrak dan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja, bagi memastikan tidak berlaku pembuangan pekerja serta tidak berlaku pemotongan gaji, yang akan memanfaatkan 3.3 juta orang menerusi peruntukan RM5.9 bilion pastinya amat melegakan.

Begitu juga bantuan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang turut menerima kesan daripada Covid-19, katanya.

“Terima-kasih kepada perdana menteri kerana turut memasukkan projek kecil menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, membersih rumah ibadat dan balai polis dengan peruntukan RM2 bilion,” ujar beliau.

Fadillah yang juga ahli Parlimen Petra Jaya berkata, dengan adanya peruntukan berkenaan, agihan projek akan dapat memanfaatkan kontraktor dari G1 hingga G4 serta pembekal dan pemberi perkhidmatan, sekaligus meningkatkan aliran tunai di pasaran dan seterusnya menggerakkan ekonomi selepas negara berdepan cabaran getir Covid-19.

“Pelaburan dalam bidang infrastruktur itu juga pastinya akan memberikan kesan gandaan manfaat lapan kali ganda.

“Begitu juga projek kecil RM2 bilion yang diumum dalam pakej sebelum ini termasuk projek infrastruktur di kawasan Felda, projek membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak bernilai RM350 juta dan projek membaik pulih perumahan rakyat termiskin bernilai RM150 juta,” katanya.

Sementara itu, Fadillah melihat pengumuman perdana menteri untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri khususnya Sarawak dan Sabah dalam memastikan bantuan yang disediakan sampai cepat ke rumah-rumah panjang dan penempatan orang asal yang jauh di pedalaman, akan memastikan rakyat di pedalaman yang turut terkesan akibat wabak berkenaan akan menerima manfaat segera.

“Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk seluruh lapisan rakyat bersama-sama berganding bahu berjuang melawan musuh yang tidak nampak pada pandangan mata iaitu Covid-19, dengan duduk di rumah.

“Keluar rumah hanya jika benar-benar perlu, patuhi arahan penjarakan sosial, membasuh tangan sekerap yang boleh dan sentiasa mengutamakan kebersihan.

“Hanya dengan cara ini rantaian Covid-19 akan dapat dipatahkan dan negara kita akan dapat terus bergerak ke hadapan dengan pakej ransangan berani yang telah diumumkan perdana menteri itu,” tambah Fadillah. — DayakDaily