‘Enda bula enda menang’ hanyalah gurauan, kata Ali Biju

Ali pada perbahasan di DUN.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Nov: Istilah ‘enda bula enda menang’ (tidak tipu tidak menang) hanyalah gurauan dan bukan pengakuan, tegas ADUN Krian Ali Biju.

Katanya, kenyataan tersebut sebenarnya gambaran kepada wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak dan ucapan beliau telah disalah tafsir.


“Kenyataan saya ‘enda bula enda menang’ sangat popular dikalangan wakil-wakil rakyat GPS. Tiada orang yang mahu mengaku di khalayak ramai, itu hanya gurauan dan wakil-wakil rakyat GPS fikirkan betul.

“Jika wakil-wakil rakyat GPS ingin mengunakannya, terpulanglah,” katanya pada perbahasan Belanjawan Negeri 2020 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ali, yang juga MP Saratok, dipetik mengeluarkan ungkapan tersebut pada salah satu acara “pemimpin bersama rakyat” pada tahun ini.

Menjawab cabaran wakil-wakil rakyat GPS yang meminta beliau mempamerkan bukti kerajaan negeri merampas tanah rakyat untuk tanah yang disukat mengunakan Seksyen 6, Ali menggesa mereka merujuk kepada keputusan hakim mahkamah rayuan Malaysia.

Menurut Ali, kenyataan beliau dalah berdasarkan kes ‘Zaharah Mustapha Raja Sewa Vs Sagau Batu Bala’ yang bertarikh 28 Mac, 2018.

Pertikaian mereka, tambah Ali, adalah berhubung dengan pertindihan tuntutan hakmilik tanah yang sudah diwartakan di dalam Seksyen 6, berkuatkuasa 18 Januari, 2011.

“Ini keputusan tuan hakim. Bukan keputusan saya. Saya cuma mengulangi apa yang disebut oleh tuan hakim. Kalau nak cabar, cabarlah tuan hakim. Bukan saya yang mengatakan tanah seksyen 6 adalah tanah kerajaan. Hakim yang cakap,” kata beliau.

Berhubung isu yang sama, Ali seterusnya mencabar wakil-wakil rakyat GPS tampil ke hadapan menjadi saksi di mahkamah, sekiranya ada kes yang bersamaan melibatkan seksyen 6.

Beliau mencabar mereka supaya menyokong usul pindaan seksyen 6, dimana perkataan yang menyebut tanah kerajaan di tukar menjadi tanah adat bumiputera.

“Saya mencabar mereka menolong tuan punya tanah menuntut ganti rugi, sekira tanah di bawah seksyen 6 digunakan oleh kerajaan seperti yang berlaku terhadap kumpulan Kenyah Badeng di Data Kakus,” ujar beliau.

Justeru, Ali mencadang agar tanah hak adat bumiputera di sukat secara langsung mengunakan seksyen 18 tanpa melalui Seksyen 6.

Katanya, di Saratok pada sekitar tahun 80an dan 90an, tanah di sukat secara terus mengunakan seksyen 18.

“Kalau boleh dibuat dahulu, kenapa tidak dapat dibuat sekarang? Dan bagi tanah yang sudah di dalam seksyen 6, mestilah di sukat kepada seksyen 18 secepat mungkin,” katanya. — DayakDaily