Enam ditangkap dalam lima serbuan membanteras kegiatan perjudian oleh IPD Padawan

Anggota operasi memeriksa premis yang disyaki menjalani kegiatan perjudian.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 20 Mei: Seramai enam individu ditangkap disyaki terlibat kegiatan judi dalam talian dan jual loteri haram dalam lima serbuan berasingan di sekitar kawasan Padawan semalam.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berkata tangkapan adalah terdiri daripada 4 lelaki dan dua wanita termasuk seorang (wanita) warga Indonesia berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun.


Serbuan dan operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Padawan tersebut adalah di bawah Op Dadu yang dilakukan dari jam 1 hingga 6 petang.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah kedai runcit di Jalan Arang, di mana telah menahan seorang wanita berasal dari Kampung Munggu Air, Simunjan yang disyaki menjual loteri haram.

Seterusnya serbuan kedua pula dilakukan di Kampung Sinar Budi, Batu Kawa dan telah menahan dua lelaki juga disyaki menjual loteri haram.

Satu lagi kes melibatkan aktiviti penjualan loteri haram adalah di sebuah kedai runcit di Taman Malihah dan seorang lelaki telah ditangkap dalam serbuan tersebut.

Manakala dua kes membabitkan aktiviti judi dalam talian dikesan di sebuah kedai runcit di Taman Matang Jaya dan Taman Malihah, di mana dua tangkapan dibuat dalam serbuan tersebut.

Pasukan operasi telah merampas enam unit telefon bimbit, serta bahan-bahan bukti lain termasuk kertas yang tercatit maklumat berkaitan judi dan sejumlah wang tunai untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(A)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily