Empat rumah terbakar pada pagi Tahun Baru Cina di Taman Permy Jaya, Sibu

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


SIBU, 1 Feb: Sebanyak empat buah rumah di Jalan Permai Jaya, Taman Permai di sini musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.13 pagi dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Katanya turut musnah dlaam kebakaran tersebut ialah tiga buah kereta dan dua buah motosikal

Jelasnya, kebakaran yang dilaporkan bermula dari sebuah kereta yang diletak di garaj salah sebuah rumah dan kemudian merebak ke tiga buah rumah bersebelahan.

Anggota bomba menggunakan teknik pemadaman ‘offensive’ serta ‘defensive’ menggunakan pemadaman satu aliran 300 kaki dua Nozel dan satu aliran 200 kaki satu Nozel air dari tangki jentera serta sumber air pili bomba terdekat.

“Kebakaran menyebabkan sebuah rumah musnah 70 peratus, sebuah lagi musnah 30 peratus manakala rumah ketiga dan keempat terbakar 10 peratus dan lima peratus,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.05 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 3.52 pagi.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. ― DayakDaily