10 buah rumah terbakar di Bintulu

Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran.

BINTULU, 29 Mac: Sekurang-kurang 10 buah rumah dilaporkan terbakar di kawasan estate MLNG di Tanjung Kidurong, di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 11.20 malam

Katanya kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah rumah sebelum merebak pantas ke rumah lain yang bersebelahan.


Pasukan bomba mengambil masa lebih lima jam untuk memadam kebakaran tersebut disebabkan cuaca berangin, tekanan air rendah dan arus elektrik yang masih aktif di lokasi menyukarkan operasi pemadaman.

Selain itu, operasi pemadaman juga sukar apabila tidak ada dinding pemisah (Party wall) antara setiap rumah mengakibatkan api merebak dengan cepat.

Kebakaran hanya berjaya dikawal sepenuhnya selepas bekalan elektrik diputuskan sepenuhnya oleh pihak Sarawak Energy yang hadir.

Susulan itu, bomba berjaya menyelamatkan dua buah rumah daripada mengalami kemusnahan sepenuhnya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.04 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Anggaran kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan Bahagian Jabatan Siasatan Kebakaran JBPM Sarawak. ― DayakDaily