Ruang sembahyang sebuah rumah terbakar di Tabuan Jaya

Ruang sembahyang rumah berkenaan yang dilaporkan terbakar.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 1 Feb: Sebuah rumah dua tingkat di Tabuan Jaya di sini dilaporkan mengalami kerosakkan akibat kebakaran, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.11 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan ruang sembahyang.

“Pasukan bomba terus melakukan pemadaman menggunakan salur bantu mula dari jentera dan seterusnya membentang 100 kaki hos untuk menambah satu lagi pancutan nozel untuk membuat pemadaman yang menggunakan pili bomba berdekatan.

“Kebakaran berjaya dikawal 10 minit kemudian daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kebakaran dianggarkan memusnahkan 20 peratus keseluruhan rumah berkenaan.

Tiada penghuni berada di rumah ketika kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kebakaran dan jumlah taksiran kerugian dan diselamatkan masih dalam siasatan. ― DayakDaily