Empat pendaki terkandas di Gunung Selabas, Bako, selamat dibawa keluar

Kumpulan pendaki yang terkandas berjaya keluar dari hutan bakau Bako.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 7: Empat pendaki yang terkandas di Gunung Selabas, Bako, selamat dan telah dibawa keluar oleh rakan mereka malam tadi.

Keempat-empat individu yang berusia antara 41 hingga 58 tahun berjaya dibawa keluar dari hutan bakau berkenaan kira-kira pukul 11.05 malam.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata sebelum itu, sekumpulan tujuh individu telah menjalankan aktiviti mendaki dan juga bermalam di tepi pantai Batu Payung.

Katanya, dalam perjalanan tiga orang pendaki telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendakian dan balik.

Kumpulan pendaki yang terkandas berjaya keluar dari hutan bakau Bako.

“Namun empat rakan lain tetap meneruskan pendakian dan bermalam di Gunung Selabas sebelum dilaporkan terkandas,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi yang disertai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya itu tamat sepenuhnya apabila mangsa dalam keadaan selamat. — DayakDaily