Oleh Brad Rantayy
MARUDI, 5 Mei: Sebanyak sembilan saman atas perbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Marudi (BSPT) semasa Ops Perdagangan dijalankan pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Marudi DSP Mohd Ruslan Mat Kib, operasi yang bermula pada jam 7 malam sehingga 11 malam itu dibuat di Jalan Beluru, Lapok dan Long Lama bertujuan memantau lori-lori batu dan lori-lori sawit yang membawa muatan lebih dan memandu dengan tidak sempurna di waktu malam.
Op ini diketuai oleh Inspektor G Visvanathan a/l Gunacekeren, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPTD) IPD Marudi.
Antara kesalahan di saman adalah muatan lebih, tidak tutup kemas muatan, salah guna permit,tayar botak dan tiada sijil pemeriksaan berkala.
Bertindak atas aduan awam juga terhadap motosikal ekzos bising di kawasan Bakong dan Lapok, pihak BSPT Marudi telah menahan sebanyak 6 motosikal di Jalan Bakong dan Pekan Lapok dan mengeluarkan sebanyak 9 saman atas kesalahan ekzos bising, ubah suai struktur kenderaan dan tidak memakai topi kaledar.
“Op ini akan diteruskan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu yang melakukan kesalahan. Pihak BSPT Marudi juga mengingatkan pihak syarikat perdagangan terlibat supaya mengikut peraturan lalu lintas yang ditetapkan,” ujarnya. — DayakDaily