Empat geng samun ditangkap di Kuching

Barang-barang yang ditemui di dalam Perodua Alza yang digunakan suspek.

KUCHING, 19 Dis: Empat lelaki suspek kes curi kedai 24 jam berjaya ditangkap baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun.

Katanya, mereka telah ditangkap oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching di lot parkir di Jalan Tun Jugah, di sini kira-kira jam 2.30 pagi, 15 Disember lalu.


“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat kes samun kedai 24 jam di Jalan Chan Bee Kiew pada jam 6.30 pagi, 3 Dis dan dua lagi kes samun kedai runcit di kawasan Padungan pada 23 Okt dan 8 Nov lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan ke dalam sebuah kereta Perodua Alza yang digunakan suspek mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Turut ditemui ialah pedang samurai, parang, kayu hoki, kuku kambing, topeng muka, topi dan sarung tangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun,” katanya.

Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dan penyalahgunaan dadah.

Hasil saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif amphetamine.

Siasatan lanjut kes dijalankan dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan. — DayakDaily