Dr Lulie sebagai Felo Akademi Sains Malaysia pencapaian bersejarah – Sagah

Sagah (lima kanan) dan Dr Lulie (enam kiri) di Majlis Apresiasi dan Ulang Tahun Ke-15 TROPI.

KUCHING, 19 Dis: Anugerah Felo Akademi Sains Malaysia yang diberikan kepada Pengarah Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI) Datu Dr Lulie Meling adalah pencapaian bersejarah kepada institut, kata Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah.

Menurut Sagah, ia merupakan anugerah berprestis dan kali kedua diberikan kepada anak Sarawak dalam tempoh 25 tahun.

“Anugerah ini bertepatan dengan sambutan 60 tahun Sarawak merdeka dan agenda pembangunan berhubung kajian saintifik serta ekonomi digital yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” kata Sagah.


Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi dan Ulang Tahun Ke-15 TROPI di sini, malam ini.

Dengan kejayaan itu, Sagah menggesa Dr Lulie untuk terus membimbing para saintis, pengkaji dan kakitangan TROPI dengan pelbagai kepakaran yang seterusnya membantu menjayakan agenda kerajaan.

Tambah Sagah, kementeriannya akan terus memberi sokongan demi pembangunan dan perkembangan TROPI sebagai sebuah institusi kajian paling efisien dan efektif di Sarawak.

“Sesungguhnya saya komited menyokong dan membangunkan TROPI.

“Saya menggalakan anda semua untuk terus meluaskan hubungan profesional samada di dalam negara dan juga di luar negara demi manfaat Sarawak,” ujar Sagah.

Hadir sama Dr Lulie dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datu Azmi Bujang. — DayakDaily