Tiga ahli geng curi motosikal ditangkap

Motosikal yang dipercayai motosikal curi berjaya ditemui.

KUCHING, 19 Dis: Tiga lelaki ditangkap bersama empat buah motosikal disyaki dicuri pada 14 Dis baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata seorang daripada suspek ditahan untuk pemeriksaan di tempat letak kereta di Batu 6 sekitar jam 7 malam.

Katanya, suspek berusia 51 tahun itu kemudian membawa pihak polis ke sebuah rumah di Beratok Jalan Kuching-Serian dan telah berjaya menangkap dua lagi dipercayai rakan sejenayahnya.


“Pemeriksaan dijalanman dan telah merampas empat buah motosikal disyaki curi.

“Hasil semakan, sebuah motosikal dilaporkan hilang di Sungai Maong, dua dilaporkan hilang di Siburan dan sebuah lagi casisnya telah diganggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan dan juga penyalahgunaan dadah.

“Ujian air kecing juga mendapati kesemua suspek positif Amphetamine,” katanya.

Merbin berkata kertas siasatan untuk semua kes telah dibuka di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Justeru, beliau menyeru orang awam untuk turut menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran. — DayakDaily