Empat ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan dadah di Matang Jaya

Gambar komposit menunjukkan suspek yang ditangkap untuk siasatan lanjut and dadah yang dirampas oleh polis.

KUCHING, 22 Julai: Tiga lelaki dan seorang wanita ditangkap di dalam sebuah bilik sewa di Matang Jaya kerana disyaki terlibat dengan kegiatan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 35 tahun.

Katanya, mereka ditangkap kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan.


“Pemeriksaan ke atas semua suspek tidak menemui apa-apa barang salah namun pemeriksaan lanjut ke atas bilik tersebut menjumpai dua paket plastik mengandungi dadah jenis syabu dengan salah satunya dijumpai di atas bumbung luar tingkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata dadah yang ditemui itu dianggarkan seberat 6.01 gram bernilai RM500.

“Kesemua suspek hasil saringan air kencing juga didapati positif amphetamine, methamphetamine dan benzo.

“Mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Katanya ketiga-tiga suspek lelaki ditahan di lokap Balai Polis Siburan manakala suspek wanita ditahan di lokap Balai Polis Beratok.

Beliau berkata kesemua suspek direman sehingga 26 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 195. — DayakDaily