Empat beranak termasuk pekerja diikat sebelum dirompak

Unit K9 di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

SERIAN, Dis 22: Empat sekeluarga dan seorang pekerja keluarga terbabit berdepan detik mencemaskan apabila mereka diikat sebelum dirompak dalam satu kejadian samun di Kampung Tanah Buda Serian di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, sekumpulan tiga penjenayah berkenaan telah melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, selain Toyota Hilux, kumpulan perompak itu turut melarikan wang tunai sebanyak RM7,000, selain barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM4,000.


Katanya, penjenayah sama juga melarikan dua unit telefon bimbit jenis Samsung milik mangsa.

Anggota polis melakukan siasatan lanjut di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, kumpulan perompak itu telah bertindak memotong pagar dawai di tepi rumah berkenaan sebelum mengumpil pintu belakang dan merosakkan mangga pintu kediaman mangsa.

“Selepas berjaya memasuki kediaman mangsa, penjenayah terbabit kemudian bertindak mengikat kesemua mangsa dengan menggunakan tali nilon dan kabel telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, hasil siasatan juga mendapati kumpulan perompak itu menggunakan parang dan batang besi ketika melakukan jenayah berkenaan.

Katanya, berdasarkan keterangan daripada mangsa, mereka tidak dapat mengecam muka suspek kerana kumpulan perompak terbabit menggunakan topeng.

“Ketika ini, unit forensik polis dan unit K9 berada di lokasi kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata api,” ujarnya lagi. — DayakDaily