Suspek kes samun, berpakaian wanita diburu polis

Gambar yang dirakam kamera CCTV kedai tersebut.

KUCHING, 26 Mei: Polis kini memburu dua individu, disyaki suspek kes samun sebuah kedai baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 22 Mei lalu.

Katanya, operasi memburu suspek terus dilancarkan dengan turut dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berdekatan dan JSJ IPK Sarawak.


“Satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan dan menangani kes tersebut.

“Usaha bersama dengan pasukan sahabat daripada IPD berdekatan serta IPK Sarawak sedang digembleng untuk menumpaskan suspek terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu siasatan kes rompak berkumpulan.

Justeru pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

Semasa kejadian, suspek yang berpakaian wanita telah masuk ke dalam premis dengan membawa senjata pisau.

Suspek kemudian merampas peti wang tunai di kaunter juruwang dan terus melarikan diri bersama seorang lagi suspek dengan menaiki sebuah motosikal. ā€” DayakDaily