Elakkan lantikan ahli-ahli JKKK dari kalangan keluarga sendiri — John Sikie

Sikie menandatangani plaq pada majlis yang dihadiri lebih 300 penduduk sekitar Sungai Arip.

KUCHING, 2 Feb: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang telah dinasihati untuk elak lantikan ahli-ahli dari kalangan keluarga sendiri sahaja.

Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera, Datuk John Sikie Tayai, berkata ini adalah untuk memastikan pengurusan JKKK di setiap kampung, khususnya perkara kewangan, dilaksanakan dengan telus dan baik.

“Harus dipastikan setiap ahli JKKK rumah panjang tidak dilantik hanya dari kalangan sebuah keluarga atau saudara-mara sahaja.


“Sebagi contoh, jika seseorang itu memegang jawatan sebagai pengerusi JKKK, beliau tidak dibenarkan atau digalakkan untuk melantik anak, isteri, menantu atau saudara terdekat memegang jawatan sebagai setiausaha, bendahari dan lain-lain jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ‘Ngentak’ rumah panjang baharu JKKK Kampung Kepayang Jaya, Sungai Arip, di Selangau kelmarin.

Sikie menyempurnakan majlis ‘Ngentak’ rumah panjang baharu Kampung Kepayang, Sungai Arip.

Tambah Sikie, yang juga ADUN Kakus, tuai rumah di setiap rumah panjang secara automatik akan dilantik sebagai pengerusi JKKK dan harus memastikan ahli-ahli JKKK yang dilantik bukan dari kalangan keluarga sendiri.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk untuk memastikan bahawa tapak rumah panjang mereka adalah merupakan tanah NCR dan bukan dibina di atas tanah ‘reserve’ jalan.

Katanya lagi, pihak JKKK harus memohon geran tanah bagi tapak rumah panjang dari pihak Jabatan Tanah dan Survei.

Pada majlis yang dihadiri lebih 300 orang penduduk sekitar, Sikie turut mengumumkan geran bantuan sebanyak RM40,500 kepada JKKK dan RM4,500 kepada Biro Wanita JKKK Kepayang Jaya, Selangau. — DayakDaily