Uggah: Sarawak cadang bina CPPC berhampiran pelabuhan dan lapangan terbang 

Uggah (tengah) bersama yang lain mengadakan lawatan kerja ke CPPC Limbang.

KUCHING, 2 Feb: Kerajaan negeri bercadang untuk membina Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) durian dan hasil pertanian yang lain berhampiran pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia merupakan tempat yang strategik kerana merupakan pintu masuk dan keluar Sarawak.

“Kita sekarang sedang membina CPPC di Betong, Lawas dan Long Lama.


“Di samping itu kita juga sedang mengkaji kawasan lain di luar bandar yang memiliki potensi menghasilkan durian dan hasil pertanian lain dengan jumlah yang besar,” katanya selepas lawatan kerja ke tapak pembinaan CPPC di Limbang, hari ini.

Pusat yang dibina dengan kos RM5 juta itu dijangka beroperasi pada bulan Februari tahun hadapan.

Tambah Uggah, yang juga Menteri Pemodenanan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, kerajaan berusaha untuk membantu pekebun menjual hasil pertanian mereka melalui syarikat utama yang telah dilantik.

Untuk mencapai matlamat itu katanya, setiap CPPC harus memiliki sijil keselamatan makanan yang diakui agar mampu menembusi pasaran antarabangsa seperti China, Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

“Dengan itu kita bergantung kepada syarikat utama untuk memperolehi sijil keselamatan makanan seperti HACCP, GMP dan yang lain dalam sistem pemprosesan mereka.

“Kelebihannya ialah syarikat ini sudah memiliki pasaran luar negeri, maka mereka harus meningkatkan bekalan.

Dalam pada itu, Uggah memaklumkan bahawa CPPC di Tarat yang memulakan operasi pada bulan lepas telah banyak membantu pekebun durian di Bahagian Serian.

Menurut beliau, CPPC Tarat yang merupakan pusat pertama dibina akan menjadi contoh kepada pusat yang lain.

“Pusat CPPC Tarat telah membeli sekitar 10,000 tan durian pada musim buah awal tahun ini.

“Ia diuruskan syarikat utama ‘Top Fruits’ yang memiliki 30 tahun pemgalaman di dalam kerja-kerja menanam durian, memperoses dan mengekspot. Syarikat ini menjual produk berasaskan durian ke lebih 11 negara,” katanya.

Penerima-penerima geran UNIFOR merakamkan kenangan bersama Uggah (duduk tiga kiri).

Uggah meneruskan lawatan kerja beliau ke tapak pembinaan dewan serbaguna gereja St Edmund, Limbang.

Pada lawatan itu, beliau turut menyerahkan geran bantuan UNIFOR berjumlah RM815,000 kepada lapan pertubuhan agama dan jawatankuasa biara.

Dewan serbaguna St Edmund menerima bantuan RM100,000 yang diterima Revd Fr Peter Huang. — DayakDaily