Manusia purba Gua Niah akan dibawa pulang

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah - file pic

KUCHING, 2 Feb: Lebih 100 tulang dan rangka manusia purba berusia 40,000 tahun, yang ditemui di Gua Niah dan disimpan di Florida, Amerika Syarikat, akan dipulangkan dan sampai ke Sarawak bulan ini atau Mac depan.

Menterian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata ketika ini tulang terbabit disimpan di University of Florida.

Beliau akan melawat universiti tersebut untuk pengurusan membawa pulang tulang terbabit ke Sarawak.

“Kami juga mahu mengadakan sambutan besaran bagi menyambut kepulangan (tulang) nenek moyang kita semua itu nanti.

“Diharapkan ianya akan sampai di sini (Sarawak) pada Febuari atau Mac,” katanya ketika merasmikan Pesta Menuai Pongal Tahunan Ke-5, anjuran Malaysia Hindu Sangam Sarawak di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Abdul Karim (tiga kiri) ketika mengunjungi Pesta Menuai Pongal Tahunan Ke-5.

Abdul Karim berkata tulang manusia purba terbabit ditemui di Gua Niah sewaktu Kurator Muzium Sarawak yang pertama, Tom Harisson, melakukan kerja penggalian di gua terbabit antara 1957 dan 1967, tetapi Sarawak ketika itu tiada universiti bagi melakukan penyelidikan mengenai penemuan terbabit.

Lebih 200 tulang rangka manusia purba ditemui di pintu barat Gua Niah antara 1957 dan 1967 dan dari jumlah itu, sebanyak 122 tulang terbabit dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada di Amerika Syarikat bagi dijadikan bahan penyelidikan.

Katanya, Nevada University kemudian menghantar tulang terbabit kepada Florida, yang juga berminat melakukan penyelidikan dan kemudian terus menyimpannya selepas selesai penyelidikan itu.

“Nasib baik apabila kami memeriksa arkib kita, tulang terbabit didapati hanya dipinjamkan (kepada universiti di Amerika Syarikat), jadi kami menulis kepada mereka yang kami mahukan tulang terbabit semula,” katanya.

Abdul Karim berkata lebih 100 tulang manusia purba itu dijangka akan dipamerkan di Kompleks Muzium Sarawak yang baru siap dibina dan sedang menjalani kerja ubahsuai serta disasarkan akan dibuka hujung tahun ini.

Katanya selain tulang itu, kemungkinan juga kompleks muzium kedua terbesar di Asia Tenggara terbabit mempamerkan artifak kedatangan agama Hindu di Sarawak berikutan sebelum ini ada penemuan satu tapak kuil Hindu di Santubong. — DayakDaily