Eksport koko cecah RM4 bilion setakat Julai 2023

Fadillah (dua kiri) meninjau aktiviti penghasilan koko kering di Kompleks Kluster Koko di Samarahan.

KUCHING, 30 Sept: Jumlah eksport koko negara mencecah RM4.364 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2023.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, sasaran pendapatan eksport komoditi tersebut pada tahun ini adalah RM8 bilion.

“Koko adalah tanaman komoditi ketiga terbesar penyumbang nilai eksport negara selepas kelapa sawit dan getah.


“Pada tahun 2022, koko menyumbang sebanyak RM7.8 billion kepada pendapatan eksport negara.

“Sumbangan ini telah meningkat 13.7 peratus berbanding tahun 2021,” katanya dalam ucapan di Majlis Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 hari ini.

Tambah Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi, keluasan tanaman koko terkini adalah seluas 5,985 hektar.

Ia disasarkan meningkat sehingga 6,335 hektar hasil daripada pembukaan kawasan tanaman koko baharu.

Katanya, sebanyak 24.6 peratus atau 1,473 hektar tanaman koko diusahakan di Sarawak.

“Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei.

“Manakala bilangan petani koko di Sarawak sehingga kini dalah seramai 1,290 orang,” ujar Fadillah.

Sementara itu beliau berkata, jumlah pengeluaran biji koko kering negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 493 tan metrik dan Sarawak mengeluarkan 20.7 peratus atau 102 tan metrik. — DayakDaily