E-hailing peluang golongan OKU menjana pendapatan, wajar disokong — PBDS Baru

Sylvia John Gemok

KUCHING, 15 Jun: Saranan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk memperkenalkan Program PSV khas (lesen kenderaan pengangkutan awam) untuk pemandu “e-hailing” golongan orang kurang upaya (OKU) telah mendapat sokongan PBDS Baru.

Ketua Pergerakan Wanita PBDS Baru (Parti Bansa Dayak Sarawak Baru), Sylvia John Gemok, berkata e-hailing telah banyak membantu golongan OKU dalam menjana pendapatan sambil memberi mereka peluang untuk berdikari.

“E-hailing seperti Grab menawarkan kemudahan kepada OKU dalam mencari pendapatan. Tambahan lagi Grab menawarkan potongan Zero Commission (0 per cent) kepada pemandu OKU, di mana lazimnya Grab mengambil potongan 20 peratus daripada pemandu-pemandunya.


“Syaratnya harus ada memo atau surat pengesahan daripada doktor,” kata Sylvia dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan memperkenalkan insentif lain kepada golongan OKU yang aktif dalam e-hailing, seperti memberikan mereka potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Perkeso (Pertubuhan Keselamantan Sosial), termasuk subsidi pembelian kereta nasional setengah harga yang diserap oleh kerajaan persekutuan.

“Tambang untuk penumpang OKU berdaftar juga haruslah juga diberi setengah harga dan kos tambang setengah harga ini haruslah ditanggung oleh syarikat e-hailing dan bukannya ditanggung oleh pemandu,” tambah beliau.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata baru-baru ini bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, akan mengaturkan sesi khas bersama OKU dalam menganjurkan program berkenaan.

Sehubungan itu, para pemandu OKU terbabit juga perlu melalui beberapa proses sebelum mereka mendapatkan kad lesen PSV.

“Yang pertamanya, mereka perlu menjalani proses pemeriksaan kesihatan dengan pemakluman lanjut seperti proses dan lokasi akan ditentukan dalam masa terdekat.

“Mereka kemudiannya hendaklah menjalani latihan secara digital dalam talian, iaitu selama enam jam berdasarkan modul ditetapkan JPJ dan ia boleh dilakukan melalui Penyelia Perkhidmatan (EHO) dengan tanpa menghadirkan diri ke pusat latihan memandu,” kata Loke dalam sidang akhbar semalam (14 Jun).

Proses seterusnya adalah ujian bertulis PSV selama satu jam yang bakal dilaksanakan pada 1 Julai depan di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan Putrajaya, kata menteri tersebut.

Kadar keseluruhan untuk proses itu adalah berjumlah RM320 seorang, namun semuanya kos ditanggung oleh pihak EHO seperti Grab, MyCar dan Ezcab sebagai satu tanggungjawab sosial.

Kerajaan mengambil inisiatif untuk membenarkan golongan OKU mendaftar sebagai pemandu e-hailing kerana mahu nasib mereka terbela khususnya menerusi potensi pendapatan.

Kini terdapat 367 pemandu e-hailing OKU di negara ini yang berdaftar di bawah EHO masing-masing. — DayakDaily