D’Wira memberi peluang bersekolah untuk kanak-kanak tiada sijil kelahiran, tiada status warganegara

Fatimah (dua dari kiri) mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pelajar ketika melawat Pusat Jagaan Kanak-Kanak D'Wira di Jalan Sky Garden, Swee Joo Park.

KUCHING, Jan 15: Kerajaan negeri mengalakkan ibubapa di bandaraya ini yang ada anak yang tidak dapat bersekolah kerana masalah tiada sijil kelahiran dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau tiada status warganegara Malaysia dalam sijil lahir itu supaya menghantar anak tersebut belajar di Pusat Jagaan Kanak-Kanak D’Wira.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pusat sukarelawan tersebut adalah satu-satunya tempat di bandaraya ini yang mengambil kanak-kanak tercicir persekolahan sebagai pelajarnya sejak 2009.

“Kanak-kanak terbabit tercicir persekolahan samada kerana kemiskinan atau tiada sijil kelahiran ataupun status kewarganegaraan dalam sijil lahir adalah bukan warganegara Malaysia atau warganegara belum ditentukan,” katanya ketika melawat dan bertemu dengan ibu bapa pelajar di Pusat Jagaan Kanak-Kanak D’Wira di sebuah rumah bunglow di Jalan Sky Garden, Swee Joo Park, di sini, hari ini.

Fatimah berkata pusat sukarelawan tersebut ketika ini mempunyai seramai 110 pelajar yang diberikan pendidikan pelbagai peringkat berasaskan silibus sistem pendidikan negara ini samada peringkat pra sekolah atau sekolah rendah.

“Malahan pusat sukarelawan ini juga membantu ibu bapa pelajarnya mendapatkan sijil kelahiran dan status kewarganegaraan Malaysia kepada anak dari JPN,” katanya dengan ibubapa hanya perlu membayar yuran RM20 sebulan bagi seorang anak yang belajar di pusat itu.

Fatimah (dua dari kanan) memberi dokumen sijil kelahiran kepada salah seorang pelajar di Pusat Jagaan Kanak-Kanak D’Wira.

Beliau menjelaskan kanak-kanak terbabit menghadapi masalah bersekolah kerana ibu bapa mereka yang salah seorangnya warga asing telah berkahwin tanpa mengikut undang-undang perkahwinan negara ini atau gagal mendaftarkan kelahiran anak mereka dengan JPN.

Katanya setakat ini hampir 20 kanak-kanak yang belajar di sekolah itu sudah berjaya dibantu pusat sukarelawan terbabit mendapat dokumen kelahiran ataupun status warganegara Malaysia serta kini sedang belajar di sekolah biasa.

Fatimah berkata sebuah pusat sama juga ada diwujudkan di Sibu yang dinamakan Destiny For Children yang diuruskan dan dibiayai pihak gereja disamping sumbangan dari orang ramai, dan beliau akan melawat pusat terbabit Ahad ini.

Sementara itu, Pengasas Pusat Jagaan Kanak-Kanak D’Wira, Jap Siew Moi berkata pusat itu ketika ini ada keseluruhannya seramai 110 pelajar yang berusia tiga setengah tahun sehingga 19 tahun dengan 50 peratus daripada mereka tiada dokumen kelahiran.

“Pusat ini beroperasi sesi pagi dan petang serta mempunyai seramai tujuh orang guru dan dua van bagi mengambil dan menghantar pelajar dengan kebanyakan menetap sekitar kawasan Batu Kawa dan Stapok di bandaraya ini,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas pusat tersebut berjaya membantu seramai tiga orang pelajarnya mendapat dokumen kelahiran dan status wargenagara Malaysia manakala tahun ini menjangkakan akan membantu lima lagi pelajarnya.

Katanya pusat itu asalnya di Desa Wira, Batu Kawa tetapi kawasan tanah premis mereka telah dijual pemiliknya dan mereka berpindah ke sebuah rumah banglow dua tingkat di Jalan Sky Garden setelah pemilik rumah bermurah hati mengenakan sewa rumah sebanyak RM600 sebulan sahaja.

Jap berkata pihaknya selepas ini merancang menyewa sebuah lagi rumah bunglow bersebelahan pusat itu untuk memberikan pendidikan vokasional kepada pelajar yang lebih berusia dalam bidang masakan dan pengunaan komputer. — DayakDaily