Dua wanita temui ajal, kereta dinaiki mereka langgar pokok

Keadaan kereta yang remuk selepas melanggar pokok.

BINTULU, Feb 24: Malang menimpa dua wanita apabila mereka menemui ajal selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Sultan Iskandar di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Cristianda Cymbah Nuli, 23, dan penumpang, Mastina Junyin, 22.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sabelum kejadian, kereta Perodua Myvi yang dipandu Cristianda sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar dari arah Medan di sini.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, kereta yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah.

“Nahas itu juga mengakibatkan Christianda meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mastina pula meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

Katanya, semasa kejadian, cuaca juga dilaporkan baik dan keadaan permukaan jalan juga kering.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily