Dua wanita menjadi mangsa, RM8,000 lesap sekelip mata dalam dua kejadian berasingan di Miri

ACP Hakemal Hawari

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 20 Sept: Hasrat seorang perniaga di sini untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM50,000 tidak kesampaian malah terpaksa menangung kerugian lebih RM3,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Pada 18 Sept, peniaga itu, seorang wanita berusia lewat 30-an, telah melihat sebuah iklan pinjaman wang dan mengisi maklumat peribadinya seperti numbor telefon untuk dihubungi.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, pada hari yang sama mangsa menerima satu panggilan dari suspek yang memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman sebuah syarikat pemberi pinjaman wang dan wakil dari sebuah bank.

Semasa perbualan itu, suspek berkata sekiranya mangsa enggan meneruskan proses pinjaman tersebut, namanya akan disenarai hitam selama lima tahun.

Bimbang, mangsa telah membuat keputusan untuk meneruskan permohonannya.

Mangsa kemudiannya telah diarahkan untuk memberi gambar kad pengenalan, penyata bank dan gambar tandatangannya kepada suspek melalui aplikasi WhatApps.

Mangsa juga diberitahu dia perlu memasukan sejumlah wang untuk proses meluluskan pinjamannya.

Sebanyak dua transaksi secara dalam talian telah dilakukan pada hari yang sama.

Hakemal berkata, selepas pinjamannya bernilai RM50,000 dikatakan telah lulus, mangsa telah diminta memasukan sejumlah wang lagi untuk berbagai-bagai alasan bagi proses memasukkan wang tersebut ke dalam akaun banknya.

Selepas melakukan transaksi ke akaun bank yang diminta suspek melibatkan jumlah lebih RM3,000, mangsa mula berasa curiga dan bertindak melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang penjawat awam wanita berusia lewat 40-an kerugian RM5,000 gara-gara dikatakan mempunyai tunggakan cukai, selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Cyberjaya.

Menurut Hakemal, mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada suspek pada 10 September lalu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN Cyberjaya.

Suspek mendakwa mangsa mempunyai cukai yang tidak berbayar syarikat di Terengganu sebanyak RM32,057.

Difahamkan, suspek telah memberikan dua pilihan kepada mangsa, samada ditahan selama 45 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Terengganu untuk membantu siasatan atau memindahkan kesemua simpanannya ke dalam akaun Juruaudit Negara Malaysia.

Kerana bimbang akan ditahan selama 45 hari untuk siasatan, mangsa telah memilih untuk memindahkan wang simpanannya berjumlah RM5,000 ke akaun yang diberikan oleh suspek.

NAmun, mangsa menyedari dirinya telah ditipu setelah melakukan semakan di pejabat LHDN cawangan Miri dan diberitahu bahawa tiada sebarang tunggakan atas namanya.

Mangsa kemudian telah tampil membuat satu laporan polis.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika disabit kesalahan. — DayakDaily